Sunday, July 5, 2009

Meredah pedalaman Borneo

Tiga hari memandu pikap Isuzu D-Max, pelbagai cabaran ditempuhi dalam ekspedisi sejauh 708 kilometer di Sabah dan Sarawak.




SEMUANYA sudah bersedia. Barang-barang dimasukkan ke dalam beg plastik sampah berwarna hitam. Minyak di dalam tangki juga penuh, sementara perut telah diisi dengan sarapan ringkas iaitu roti yang disapu dengan jem epal dan teh tarik.

Dengan penuh semangat, kami menunggu arahan daripada ketua ekspedisi, Wan Zaqi Zacary. Dia yang juga Pengurus Perancangan Produk dan Latihan Isuzu Malaysia Sdn. Bhd., memberitahu, perjalanan bakal merentas dua negeri di Malaysia Timur iaitu Sarawak dan Sabah.

Lima belas minit berlalu, kenderaan masih statik. Rupanya-rupanya, dua buah kenderaan yang berada di hadapan mengalami masalah. Diesel yang dimasukkan ke dalam tangki sudah bercampur dengan air, berikutan hujan lebat beberapa hari sebelumnya.

Mujur juga indikator pada papan pemuka trak pikap Isuzu D-Max itu menyala. Jika tidak, mungkin masalah lebih besar boleh berlaku. Pastinya, perkara sebegitu mahu dielakkan. Ini kerana kebanyakan laluan akan menempuh kawasan terpencil, walaupun rombongan turut ditemani oleh pasukan teknikal Isuzu.

Itulah mukadimah cabaran yang ditempuh oleh peserta ekspedisi, dikenali sebagai Isuzu Dura-Mission. Bertujuan menguji kelasakan dan ketahanan enjin diesel Ddi iTEQ Super Commonrail yang ada pada trak pikap Isuzu D-Max, perjalanan itu telah merentas pelbagai bentuk laluan sukar yang mungkin tidak ditemui di Semenanjung Malaysia.


PERJALANAN rombongan Isuzu Dura-Mission tersekat seketika kerana jambatan kayu telah runtuh.


Perjalanan sejauh kira-kira 708 kilometer (km) itu bolehlah dikatakan sebagai kesinambungan kepada cabaran Isuzu Dura-Mile yang dianjurkan oleh pihak Isuzu Malaysia Sdn. Bhd. pada tahun 2007.

Bukan itu sahaja, misi tersebut juga dibuat bagi membuktikan sekali lagi bahawa trak pikap Isuzu D-Max memiliki keupayaan penggunaan bahan api paling efisien berbanding pesaingnya.

Sebelum ini, D-Max berjaya melakar rekod perbatuan sejauh 1,501km dengan hanya 76 liter diesel, bermula dari Bangkok, Thailand ke Kuala Lumpur.

Misi yang berlangsung selama empat hari tiga malam itu bermula dari sebuah kampung terpencil di pedalaman Sarawak, Ba'kelalan.

Terletak berhampiran sempadan Indonesia, Ba'kelalan cukup terkenal dengan keramahan suku kaum Lun Bawang, tanaman epal dan beras Bario.


LALUAN sebegini memerlukan pemandu bijak mengendalikan kenderaan.


Sebanyak 10 buah Isuzu D-max bersesaran 2.5 liter dan 3.0 liter bertransmisi automatik dan manual sudah sedia untuk beraksi setelah dimasukkan ke dalam mode pacuan 4L. Mode itu digunakan kerana laluan darat menuju ke pekan Lawas sejauh 150km cukup mencabar.

"Beri kepercayaan kepada D-Max anda. Ia mampu meredah laluan mendaki dan berselut walaupun pada kedudukan gear empat," kata Zaqi melalui walkie-talkie.

Memang benar, jentera itu seakan tidak berdepan masalah dalam menempuh laluan sebegitu. Malah, untuk menambah lagi 'drama', laluan kecil yang hanya dibina menggunakan beberapa batang kayu balak runtuh pada malam sebelumnya.

Berpandukan kepada arahan seorang jurupandu, satu persatu jentera berjaya melepasi laluan yang begitu sempit. Selepas hampir setengah jam meneruskan perjalanan, kami berhenti dan mendaki menuju ke arah sebuah rumah papan yang usang.

Sebenarnya, ia merupakan kilang menghasilkan garam yang bahannya diambil dari beberapa buah perigi telaga air masin.


PARA tetamu dihidangkan dengan persembahan tarian tradisional masyarakat Lun Bawang di Ba'kelalan, Sarawak.


Menurut seorang pemandu pelancong, Lisa Buing, 36, garam bukit yang berstruktur halus itu mempunyai banyak khasiat. Antaranya, mampu melegakan penyakit seperti gout dan penyakit kulit.

Tiba waktu tengah hari, kami yang kelaparan menikmati makan tengahari di tepi Sungai Semadoh. Sungai cetek dan jernih itu membuatkan beberapa peserta tidak dapat menahan keinginan untuk berendam seketika bagi menyejukkan badan.

Destinasi seterusnya adalah pusat peranginan eko yang terletak berhampiran kawasan pembalakan, Merarap Hot Spring. Namun, ia bukanlah satu laluan mudah. Rombongan terpaksa menempuh laluan yang digunakan oleh lori-lori balak yang sarat dengan muatan dan dipandu laju.

Lebih mendebarkan, setiap D-Max perlu berada di bahagian kanan jalan kerana itulah peraturan yang mesti dituruti. Ingatkan sudah dekat, selesai melalui jalan balak, kami memasuki pula laluan berbukit sebelum sampai ke lokasi kolam air panas semula jadi itu.


ORANG kampung tidak melepaskan peluang untuk melihat rombongan Isuzu Dura-Mission dari jarak dekat.


Saya dan rakan agak bertuah kerana berpeluang mengendalikan D-Max bertransmisi manual. Selain menguji kecekapan, transmisi manual menawarkan kuasa mendaki yang lebih baik dan lebih seronok dipandu.

Sebenarnya, hati sedikit kecewa kerana malam sebelumnya hujan tidak turun. Jika tidak, medan ujian untuk Isuzu D-Max pasti lebih mencabar dan mengujakan.

"Kalau hujan, mesti lebih mencabar. Kita boleh lihat semua orang buat aksi drift," kata Pengurus Kanan Jualan Kenderaan, Isuzu Malaysia, Junaidy Sulaiman sambil ketawa.


BERHENTI seketika untuk melawat kilang membuat garam yang terletak di atas puncak bukit.


Pada hari ketiga, perjalanan dari pekan Lawas menuju ke Lembangan Maliau (Maliau Basin) lebih banyak meliputi jalan berturap.

Sepanjang perjalanan, kami bertembung dengan banyak trak pikap Isuzu D-Max yang sememangnya menjadi antara peneraju pasaran di Sabah dan Sarawak.

Untuk makluman, Lembangan Maliau yang turut disebut sebagai Lost World of Borneo merupakan hutan dara seluas 588km persegi yang diwartakan di bawah Perlindungan Hutan Simpan Kelas 1 bermula pada tahun 1997.

Tidak terbuka kepada semua pengunjung (kecuali penyelidik dari dalam dan luar negara), hutan itu berada di bawah seliaan Yayasan Sabah. Ia menjadi habitat kepada pelbagai spesies flora dan fauna, termasuklah gajah pigmy, burung kenyalang dan harimau kumbang, selain menempatkan lebih 100 air terjun.

Kami tidak mempunyai cukup masa untuk melakukan jungle trekking kerana lokasi air terjun yang paling dekat memakan masa sekurang-kurangnya sehari. Justeru, keindahan Lembangan Maliau dinikmati melalui pandangan dari udara sewaktu menaiki helikopter selama hampir setengah jam.

Pada hari terakhir, kami perlu keluar dari Lembangan Maliau menuju ke Tawau dengan menempuh jalan berdebu sejauh 100km.




Debu tebal itu menyebabkan pandangan begitu terhad. Tidak cukup dengan debu, cermin hadapan juga kerap dihentam dengan batu-batu kecil apabila kenderaan di hadapan bergerak laju.

Keadaan ini memaksa setiap kenderaan bergantung kepada arahan yang diberikan menerusi walkie-talkie.

Rombongan akhirnya tiba di Lapangan Terbang Tawau lebih awal daripada yang dijadualkan, tanpa dihalangi oleh apa-apa masalah teknikal pada Isuzu D-max.

"Isuzu Dura-Mission ini diharap dapat meningkatkan lagi kesedaran orang ramai mengenai Isuzu D-Max. Ia sekali gus meningkatkan lagi jualannya berbanding lebih daripada 5,026 unit pada tahun lalu," kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Isuzu Malaysia Sdn. Bhd., Takashi Hata.

Bagi saya, Isuzu Dura-Mission bukan sekadar mampu menunjukkan karektor sebenar sebuah D-Max. Malah, ekspedisi Trans Borneo itu membuktikan bahawa Malaysia dirahmati dengan banyak lokasi yang sangat menarik untuk diterokai.




No comments:

Post a Comment