Monday, June 29, 2009

Keladi bunting


Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my

Tumbuhan akuatik Eichornia crassipes kian digemari kerana cantik, mudah biak

TERATAI, kiambang dan keladi bunting adalah antara tumbuhan yang sesuai untuk menghiasi taman air. Namun berbanding teratai dan kiambang yang lebih dikenali, tidak ramai yang tahu mengenai keladi bunting walaupun ia banyak ditemui di sungai, tasik, lombong dan terusan di seluruh negara.

Keladi bunting juga sebenarnya lebih dikenali sebagai tumbuhan perosak oleh nelayan dan pengusaha sawah padi tetapi ia semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat seni hiasan laman terutama bagi mereka yang mempunyai taman air, kolam atau pancuran air di kediaman.

Keladi bunting atau nama saintifiknya, Eichornia crassipes juga dikenali sebagai orkid air atau Water Hyacinth daripada spesies keluarga pokok Pontederiaceae. Ia pokok jenis terapung yang cepat membiak dan mampu membiak berlipat kali ganda dengan cepat dalam tempoh 12 hari.

Ia mempunyai bunga kecil seperti orkid dengan enam kelopak berwarna ungu, atau merah jambu keputihan dan jika tumbuh dengan banyak, kelihatan seperti hamparan besar di permukaan tasik.

Tumbuhan air yang berasal dari Amerika Selatan ini, sememangnya amat sesuai membiak di kawasan berair. Tumbuhan akuatik air tawar ini juga boleh hidup dalam keadaan berlumpur atau air yang cetek dan bahagian bonjolan atau bunting pada tangkai daunnya akan hilang.

Kebiasaannya, pokok ini akan terapung-apung di atas air dengan menggunakan bahagian tangkai daun yang bunting dan mempunyai udara di dalamnya. Sekali pandang, batang daunnya tidak ubah seperti pelampung.

Apabila pokok ini membentuk hamparan, ia akan menghalang sinaran matahari menembusi ke dasar air sekali gus mengurangkan kadar pembebasan oksigen. Secara tidak langsung, ia boleh mematikan tumbuhan asal di dasar air yang memerlukan punca oksigen.

Bagi kawasan sungai, kehadiran keladi bunting yang banyak, boleh menghalang bot nelayan menangkap ikan di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun bagi seni hiasan laman, pokok keladi bunting sebaliknya tidak memberikan masalah. Ia lebih sesuai diletakkan dalam kolam kecil, tempayan atau pasu besar.

Pokok ini juga lazimnya menjadi penghias pancuran air dan kolam pasang siap yang bersaiz besar dan sederhana. Namun, bagi kolam yang dihuni ikan, seelok-eloknya kawal pembiakan keladi ini supaya ia tidak menghalang cahaya masuk dan menyekat pembebasan oksigen.

Bagaimanapun, biasanya keladi bunting menjadi tempat ikan dalam kolam mencari makan. Ini kerana akar keladi bunting biasanya tumbuh berlumpur di dalam air. Katak dan ikan juga sering menjadikan akar pokok ini tempat ia bertelur.

Bagi segelintir pencinta hiasan laman pula, ada yang tidak suka menanam pokok ini kerana akarnya menjadi tempat pembiakan nyamuk.

Daun dan batang keladi bunting juga sering dijadikan bahan makanan untuk penternakan haiwan seperti lembu dan kambing. Terkini, daun dan batang tumbuhan ini juga dijadikan makanan untuk penternakan ikan termasuk ikan hiasan. Ini bermakna, selain menjadi pokok hiasan laman, ia boleh dijadikan bahan makanan untuk ikan di dalam kolam hiasan.

Batang pokok ini juga dikeringkan dan dijadikan bahan utama membuat perabot mesra alam. Permintaan ke atas perabot jenis ini dikatakan semakin bertambah kerana rupanya menarik dan eksotik.


Berita Harian

7 comments:

  1. haloo... saya perlukan pokok keladi bunting... dari siapa untuk saya membelinya dan... sila tinggal nombor untuk saya hubungi...

    ReplyDelete
  2. Banyak di perlis ni..dtg lah sekolam pun boleh

    ReplyDelete
  3. Banyak di perlis ni..dtg lah sekolam pun boleh

    ReplyDelete
  4. Datang sri serdang upm....dah penuh 1 tasik

    ReplyDelete